Tayar kereta adalah komponen yang amat penting untuk memastikan keselamatan pemanduan.
Hal ini kerana ia banyak terdedah kepada permukaan jalan raya. Jadi, sebagai seorang pemandu yang berhemah, anda digalakkan untuk memastikan tayar kereta berada dalam keadaan yang baik.
Kami akan berkongsi beberapa info yang penting di dalam artikel ini. Antaranya adalah jenis-jenis tayar kereta, waktu sesuai untuk menukarnya dan juga kod.
Jadi, jom baca artikel ini sampai habis.
Artikel berkait
10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Servis Kereta
Mungkin akan ada yang tertanya-tanya, mengapa perlu untuk anda tahu tentang jenis-jenis tayar ini?
Ini kerana anda perlu tahu terlebih dahulu untuk memahami jenis-jenis tayar agar dapat mengoptimumkan pemanduan dan perbelanjaan anda dengan pemilihan yang dibuat.
Jadi, soalan seterusnya yang mungkin berlegar di minda anda adalah macam mana nak memilih dan menilai tayar-tayar kereta ini?
Ada lima keutamaan yang perlu anda ambil kira iaitu kos tayar, keselesaan, ketahanan, prestasi, dan penjimatan penggunaan bahan api.
Pilihlah tayar berdasarkan keutamaan anda pada kenderaan yang dipandu. Di bawah ini adalah cadangan kami untuk anda.
1. Tayar Mampu Milik
Tayar mampu milik ini terbahagi kepada dua jenama, iaitu Falken SN832i dan Dunlop Formula D06. Untuk jenama pertama, saiznya adalah 14 inci dengan nilai RM140-RM180.
Manakala, jenama kedua, saiznya adalah 16 inci dengan nilai RM220-RM240.
Seperti namanya, tayar kereta sentiasa menjadi pilihan disebabkan harganya yang mampu milik. Dah lah mampu milik, tayar ini juga popular kerana sentiasa dalam keadaan ‘ready stock’.
2. Tayar Yang Tahan Lama / Lasak
Ini bergantung kepada kecenderungan anda sama ada anda memilih tayar kereta untuk selesa ataupun berjimat.
Tayar kereta pengeluaran syarikat Goodyear iaitu Duraplus 2, Assurance TripleMax 2 dan Excellence adalah antara yang menepati ciri-ciri tahan lama dan juga tahan lasak.
Tayar ini direka khas bagi penggunaan lasak dan memberi jangka hayat yang lebih panjang pada tayar di samping mampu menjimatkan penggunaan bahan api.
Tetapi, tayar ini tidak memberikan keselesaan dalam pemanduan serta pengendalian yang terbaik.
Seperti biasa, yang paling kecil saiznya adalah yang paling murah harganya. Goodyear Duraplus 2 dengan saiznya 14 inci berharga dalam RM150-RM200.
Manakala, Goodyear Assurance TripleMax 2 berharga RM180-RM220 datang dalam saiz 15 inci dan dengan saiznya 17 inci, Goodyear Excellence berharga RM300-RM500.
3. Tayar Selesa
Jika dilihat, tayar jenis ini menjadi pilihan pemandu kerana semestinya ia memberikan keselesaan pada pemanduan.
Tayar ini terdapat dalam dua jenama iaitu Continental CC6 dan Michelin Primacy 4. Pernah dengar kan jenama popular ini?
Ianya lebih lembut berbanding tayar lain kerana ia direka khas untuk memberikan perjalanan yang lancar dan selesa. Namun, ianya tidak sesuai untuk pemanduan lasak.
Untuk Continental CC6 ini, tayarnya bersaiz 14 inci dengan harga anggaran RM170-RM200, manakala Michelin Primacy 4 bersaiz 16 inci dengan anggaran harga RM370-RM470.
Wah, lebih mahal dari tayar mampu milik, kan? Sekali lagi, ianya bergantung kepada kecenderungan anda. Jika anda mementingkan keselesaan, inilah pilihan terbaik.
4. Tayar Eco
Ada tak di antara anda yang mementingkan penjimatan minyak? Tayar ini sesuai untuk anda kerana direka khas untuk menjimatkan minyak pada kenderaan anda.
Bukan itu sahaja, harga tayar ini juga jauh lebih murah berbanding jenis tayar yang lain. Tetapi, keadaan tayar yang keras mungkin akan menghasilkan bunyi bising ketika memandu.
Buat anda yang mementingkan mengenai penjimatan minyak, tayar kereta yang dikeluarkan oleh syarikat Bridgestone merupakan antara pilihan yang terbaik.
Tayar kereta keluaran syarikat ini dinamakan Bridgestone EP150 yang bersaiz 14 inci. Anggaran harganya adalah antara RM140-RM190.
Bridgestone EP300, bersaiz 16 inci dengan harga dalam lingkungan RM200-RM300.
5. Tayar Berprestasi
Tayar-tayar yang disebut di atas kurang sesuai untuk pemanduan rancak dan lasak. Jangan risau, untuk pemandu yang inginkan tayar yang boleh memberi cengkaman terbaik, inilah pilihan anda!
Tayar ini sering menjadi buruan pemandu yang gemarkan pemanduan yang lebih rancak serta lasak dalam apa jua cuaca.
Namun, tayar ini sering menghadapi masalah cepat haus dan keadaan dinding sisi tayar yang keras kadangkala menghasilkan bunyi bising seterusnya mengurangkan keselesaan.
Jika anda hanya inginkan pemanduan yang lebih sporty, tidak perlulah mengambil kira masalah yang akan anda hadapi dan pilihlah tayar jenis ini.
Terdapat tiga jenama bagi tayar jenis ini iaitu Dunlop, Bridgestone dan Michelin. Untuk Dunlop SP Sport J5 bersaiz 14 inci, anda boleh mendapatkannya dengan harga sekitar RM120-RM165.
Untuk saiz 16 inci, anda boleh memilih Bridgestone RE004 dengan harga RM330-RM370. Dan untuk tayar paling besar bersaiz 17 inci, Michelin Pilot Sport 4 dengan RM400-RM510.
Artikel yang anda mungkin berminat
Tip Untuk Berjimat Semasa Servis Kereta Anda
Jika sesuatu objek akan rosak, ia memberi isyarat awal untuk kita bersedia dengan pengganti baharu, bukan? Begitu juga dengan tayar kereta anda.
Di sini kami kongsikan beberapa tanda-tanda tayar kereta perlu ditukar dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku:
1. Tread Wear Indicator (TWI)
TWI merupakan kaedah visual paling jelas dan mudah dalam menentukan kadar kehausan tayar. TWI biasa berada dalam longkang tayar.
Bagi tayar baru ia biasa datang dengan ketebalan antara 7-9mm, menjadikan TWI berada dalam longkang. Apabila ketebalan tayar kurang dari 3mm, adalah lebih baik untuk tukar tayar.
2. Hydroplaning
Ini adalah apabila kereta rasa “terapung” bila lalu lopak air dan tayar gagal menyingkirkan air di atas permukaan jalan yang menyebabkan tayar kereta tidak menyentuh permukaan jalan.
Ini menyebabkan tiada cengkaman yang wujud antara tayar dan permukaan jalan. Anda boleh “rasa” dengan tiba-tiba sahaja RPM meter akan naik walaupun anda menekan pedal minyak.
3. Brek terseret
Sekiranya setiap kali anda brek emergensi tayar hilang cengkaman dan terseret atas jalan, ini bermakna tayar anda sudah tidak sesuai lagi digunakan selepas beberapa tahun.
Apabila tayar mulai terseret ketika membrek, jarak pemberhentian kereta akan menjadi lebih jauh disebabkan inertia.
4. Hilang cengkaman ketika mula memecut
Ini berlaku sebaik sahaja anda menekan pedal minyak di lampu isyarat. Tayar anda “berkokok” kerana ia tidak dapat menghantar kuasa enjin ke atas permukaan jalan ketika mulai bergerak.
5. Bila tayar sudah lama digunakan
Tayar juga mempunyai “shelf life” yang tersendiri. Seperti barang-barang yang lain, ia tidak akan rosak jika disimpan dengan betul.
Namun, kualiti tayar akan merosot sebaik sahaja ia dipasang pada kereta walaupun jarang dipandu.
Faktor seperti pendedahan pada cahaya matahari, hujan, dan panas akan menjejaskan struktur kualiti tayar.
6. Tayar pernah pancit
Menampal tayar yang bocor sewaktu bunga tayar masih tebal adalah lebih ekonomikal. Namun, tidak jika tayar mulai haus kerana bahagian yang ditampal akan bocor semula.
Adalah lebih baik untuk menukar terus tayar jika ia bocor semula pada lubang yang sama selepas beberapa tahun digunakan.
Baca juga artikel
Info Cara Servis Kereta Yang Wajib Anda Tahu
Kod pada tayar membawa maksud yang sangat penting melibatkan tayar. Jadi, pentingkah untuk mengetahui maksud kod-kod tayar tersebut?
Salah satu sebab kenapa anda perlu tahu membaca kod tersebut ialah ia boleh mengelak anda jadi mangsa penipuan apabila ingin menukar tayar.
Penting juga untuk anda tahu tarikh supaya anda tahu tayar yang anda beli adalah baharu. Jadi anda dapat pastikan tayar anda baharu dan cukup masa untuk proses pematangan getah.
Berikut merupakan cara untuk membaca kod tayar dengan betul. Sebagai contoh kod yang tertera seperti 175/65R1584H (175 / 65 R 15 84 H):
Kod Tayar Kereta | Maksud |
175 | Kelebaran tayar ini ialah 175mm |
65 | Peratusan ketinggian dinding tayar ini ialah 65% |
R | Radial |
15 | Diameter rim bahagian dalam untuk tayar ini ialah 15 inci |
84 | Had muatan tayar ini ialah 500kg |
H | Kelajuan maksimum untuk penggunaan tayar ini ialah 210km/j |
Di samping itu, pada bahagian sisi tayar juga anda boleh mendapati maklumat tentang tarikh keluaran tayar. Selalunya, ada empat angka tercatat, contohnya 2020.
Maksud di sebalik nombor tersebut ialah, tayar ini dikeluarkan oleh kilang pada minggu ke-20 tahun 2020 bukan hanya memberi info tentang tahun keluaran.
Semoga perkongsian mengenai penjagaan tayar kereta ini dapat membantu anda sebelum membeli atau menggantikan tayar yang sesuai untuk kenderaan anda.
Selain itu, jika anda inginkan bantuan yang sentiasa dekat dengan anda untuk kembali ke jalan raya, anda boleh layari https://www.pomenapp.com/services/ atau lawati juga laman Facebook kami.
Perkhidmatan bantuan tepi jalan digital POMEN ialah bantuan yang paling boleh dipercayai apabila anda memerlukan bantuan dengan penjejakan langsung pada telefon pintar anda.