Perkara pertama yang anda perlu lakukan jika kereta anda ditenggelami banjir ialah periksa paras air dan keadaan kereta anda terlebih dahulu selepas banjir surut.
Air banjir kebiasaannya meninggalkan kesan lumpur pada permukaan yang bersentuhan dengannya terutamanya pada bahagian luaran kereta. Maklumat ini penting untuk menilai kemungkinan kerosakan sama ada air banjir telah menenggelamkan keseluruhan kereta dan telah memasuki bahagian enjin kereta dan sebagainya.
Sekiranya banjir menenggelamkan keseluruhan kereta anda termasuk ruang kabin dan enjin, jangan sesekali hidupkan enjin kereta anda kerana ia berpotensi untuk menyebabkan litar pintas.
Komponen utama seperti enjin dan sistem gear mungkin telah rosak disebabkan banjir. Perkara yang boleh anda lakukan ialah cabut bateri kereta anda dan panggil mekanik atau trak tunda untuk membawa kereta anda terus ke bengkel atau pusat servis kenderaan.
Setelah kereta anda tiba di bengkel, periksa enjin atau gearbox kereta anda terlebih dahulu. Gunakan batang celup (dipstick) kereta anda – jika amaun minyak enjin/minyak gear melebihi amaun yang sepatutnya, ini bermaksud enjin anda sudah dimasuki air.
Sekiranya minyak enjin dan minyak gear anda telah bercampur dengan air, anda perlu keluarkan dan gantikannya dengan minyak baharu.
Lakukan flushing dengan ulangan sebanyak 3 hingga 5 kali bergantung kepada nasihat mekanik anda. Minyak hitam dan minyak gear yang telah bercampur dengan air boleh menjejaskan prestasi kereta.
Kedudukan tangki minyak yang sedikit rendah juga meningkatkan keberangkalian air banjir memasuki tangki tersebut. Keluarkan petrol yang telah bercampur dengan air daripada tangki minyak kereta anda untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada bahagian enjin kereta anda.
Minta pendapat mekanik anda terlebih dahulu sama ada perlu lakukan flushing atau tidak.
Mana-mana komponen dalam kereta yang boleh ditanggalkan seperti ECU, panel meter, radio dan barang elektronik perlu dikeringkan. Cuci kereta anda dengan semburan air deras terutamanya di bahagian enjin dan brek. Namun begitu jangan sesekali sembur ke arah lubang penapis udara dan pelincir.
Selain itu, bersihkan juga kekotoran pada kusyen kereta yang mungkin telah ditenggelami lumpur untuk elakkan kusyen daripada berbau hapak.
Untuk kesan yang lebih optimum, gunakan perkhidmatan mereka yang pakar mencuci kusyen. Mereka biasanya akan membuka kerusi anda dan mencuci segenap inci ruang kereta anda dengan teliti.