Sedang seronok memandu dan menyanyi mengikut alunan lagu penyanyi kegemaran di radio, hidung terhidu bau hangit memasuki ruang kabin. Lebih panik, kelajuan kereta pula mula perlahan secara drastik dan akhirnya berhenti begitu saja. Kereta tiba-tiba ‘breakdown’!
Bertenang, tarik nafas.Ini adalah 10 tip yang perlu anda lakukan jika kereta tiba-tiba rosak ketika memandu:
1. JAGA PENYELENGGARAAN KERETA
Ini bukan apa yang anda perlu buat ketika kereta sudah rosak. Ini cuma nasihat awal, iaitu tolong pastikan kereta anda diselenggara berkala mengikut jadual dan tempoh servis yang ditetapkan. Walaupun sudah diservis, sebelum bergerak (terutama perjalanan jauh), sila pastikan penyejuk (coolant) dan bendalir pencuci (washer) mencukupi atau tambah apabila kurang. Mana tahu ada kebocoran.
2. PAKAI JAKET KESELAMATAN
Seeloknya anda menyimpan jaket keselamatan dengan reflektor, termasuk baju hujan dalam kereta. Dua benda ini bukanlah berharga mahal, tetapi sangat berguna apabila berlaku kecemasan. Jaket reflektor dipakai supaya kelibat anda dapat dilihat pengguna jalan raya lain, terutama malam atau cuaca gelap. Baju hujan pula berguna apabila kereta rosak ketika hujan. Jadi, tidak perlu lagi basah kuyup dan menggigil kesejukan, terutama apabila kerosakan disebabkan tayar pancit yang memerlukan anda menukar tayar kereta sendiri.
3. PASTIKAN BATERI TELEFON BIMBIT PENUH
Telefon bimbit yang dicas penuh amat bermakna kerana anda boleh membuat panggilan kecemasan dengan memberitahu seseorang mengenai lokasi terkini anda. Sila bersiap sedia dengan pengecas kereta atau pengecas bateri mudah alih atau “powerbank”.
4. NYALAKAN LAMPU AMARAN BAHAYA
Jika perasan kelajuan kereta anda mula perlahan secara tiba-tiba, segera aktifkan lampu amaran bahaya sebagai amaran kepada pengguna jalan raya lain. Biarkan menyala walaupun kereta sudah berhenti atau diparkir tepi jalan.Ini bagi memastikan keselamatan anda terjamin.
5. TOLAK KERETA (JIKA MAMPU)
Jika kereta terkandas di tengah jalan, cuba tolak ke tepi jalan. Itupun jika anda mampu melakukannya. Tolak menggunakan bahu kiri sambil tangan kiri mengawal stereng. Jika tidak mampu, cepat lambaikan tangan bagi minta bantuan orang berhampiran. Jangan risau, kebiasaannya, ada ramai penunggang motosikal baik hati yang akan cuba membantu anda.
6. BERHENTI DEKAT TELEFON KECEMASAN
Di lebuh raya, jika anda rasa kereta anda memberikan tanda-tanda awal akan mula rosak dan berhenti bila-bila masa, segera cari dan berhenti berhampiran telefon kecemasan (berwarna oren). Boleh saja guna telefon bimbit sendiri. Tetapi telefon kecemasan yang disediakan pihak lebuh raya boleh menghubungkan anda terus kepada operator yang tahu apa perlu anda buat, termasuk mengesan lokasi anda berdasarkan identiti telefon.Ini akan lebih memudahkan kerja anda.
7. KELUAR IKUT PINTU KIRI
Jika anda pemandu, sila keluar dari kereta anda menerusi pintu penumpang depan, atau sebelah kiri. Ini kerana laluan kanan terdedah kepada risiko dilanggar dari belakang. Cuba berdiri jauh dari kereta bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk yang mungkin berlaku.
8. DUDUK DALAM KERETA
Jika rasa terancam, terutama jika kereta rosak di kawasan pedalaman, atau hutan, atau jalan raya yang kurang pengguna jalan raya, anda boleh duduk sahaja di dalam kereta dan kuncikan pintu. Jangan lupa dail 999 untuk minta bantuan.
9. PASANG PEMANTUL SEGITIGA
Buka but kereta dan cari segitiga amaran. Pasangkan pada jarak 20-30 meter dari jarak kereta anda, ataupun bersamaan jarak 5 buah kereta. Ini ialah langkah awal mencegah kereta anda dirempuh dari belakang.
10. TELEFON TRAK TUNDA
Tahukah anda, ada dua pihak yang menawarkan khidmat tunda percuma jika kereta anda rosak? Pertama, pihak pengeluar, tetapi tundaan percuma itu terhad ke mana-mana pusat servis terdekat. Kedua, syarikat insurans. Cara ini lebih fleksibel kerana anda diberikan khidmat tunda percuma dalam jarak 60km atau lebih (berbeza mengikut polisi) dan boleh memilih sama ada menghantar ke pusat servis yang menjadi panel syarikat insurans atau bengkel pilihan sendiri.
ANDA JUGA BOLEH MENGGUNAKAN SERVIS POMEN UNTUK MEMBANTU ANDA KETIKA DALAM KECEMASAN !
Muat turun POMEN App di Google Playstore atau Apple Appstore anda sekarang!