Kita semua ada kereta idaman yang selalu kita tinjau pada pasaran kereta terpakai. Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya kita sedang memerlukan sebuah kereta pada harga yang rendah untuk kegunaan sementara, keluarga mahupun perniagaan.
Berikut adalah tips yang perlu anda pertimbangkan jika ingin membeli kereta terpakai:
1. Periksa cat, panel, kawasan enjin dan bawah kereta
Periksa kereta pada waktu siang kerana pantulan cahaya matahari dapat membantu anda mengetahui tentang keadaan body kereta. Keadaan seperti calar kecil, haus dan lusuh boleh diterima memandangkan ini adalah kereta terpakai.
Cari celahan yang tidak rata pada panel badan berdasarkan pantulan. Hal ini kerana ia mungkin merupakan tanda-tanda bahawa kereta itu pernah mengalami kemalangan. Selarikan mata anda dengan badan kereta dan perhatikan pantulan yang tidak rata.
Perhatikan keadaan jalur getah di sepanjang kawasan yang berpintu atau berkaca sama ada merekah atau haus? Kebanyakannya jalur getah agak mudah untuk diganti. Namun, ada yang sedikit sukar untuk diganti contohnya penutup getah cermin hadapan yang mahal.
Elakkan kereta yang mempunyai tompok karat. Anda boleh mencari titik karat yang biasa terdapat di sepanjang bumbung, kawasan sekitar kawasan enjin, lengkungan roda dan di bawah karpet lantai.
Lihat di bawah kereta dan cari kerosakan yang dapat dilihat pada papan lantai, rel dan frem chasis serta bahagian mekanikal yang bergerak
Periksa keadaan tayar dan roda. Awasi tayar yang tidak rata atau tayar yang tidak sesuai. Jenama / kualiti tayar yang dipasang juga boleh memberi gambaran mengenai rutin penyelenggaraan pemiliknya.
Hidupkan lampu depan dan lampu isyarat. Lampu depan dan lampu belakang seharusnya tiada masalah besar. Warna lampu yang tidak sama juga merupakan tanda bahawa ia pernah terlibat dalam kemalangan dan bahagian tersebut diganti dengan barang tiruan murah.
Periksa juga hos yang merekah pada kawasan enjin, air yang berkarat di dalam radiator ataupun kebocoran cecair sekiranya ada.
2. Semak rekod penyelenggaraan kereta
Yang ini memang wajib. Rekod dan sejarah penyelenggaraan penuh adalah petunjuk yang bagus mengenai tahap penjagaan pemilik sebelumnya.
Perhatikan tarikh servis, sama ada ia dilakukan tepat pada waktunya ataupun terlajak. Ini juga merupakan salah satu lagi petunjuk yang baik mengenai tahap penjagaan pemilik sebelumnya.
Sebuah kereta yang dilengkapi dengan kertas kerja yang banyak adalah petanda yang baik. Ini adalah salah satu faedah membeli kereta terpakai terus dari pemilik. Penjual kereta terpakai yang tidak memberi anda rekod penyelenggaraan mungkin telah memusingkan semula mileage kereta untuk menipu pembeli. Elakkan kereta yang tidak mempunyai rekod penyelenggaraan.
3. Cuba semua ciri dalaman
Pada iklim khatulistiwa seperti Malaysia, aircond yang sejuk sangat penting. Hal ini juga bermakna aircond adalah ciri pertama yang perlu anda periksa. Pastikan aircond pada kereta tersebut bersih, tidak berbau atau tiada bunyi pelik ketika dihidupkan.
Kos penyelenggaraan aircond agak mahal tetapi kalau anda sedang meninjau kereta yang rare, ia mungkin menjadi pelaburan yang berbaloi.
Periksa juga ciri dalaman lain seperti power window, wipers, tombol signal, lampu instrument panel, lampu hazard, lampu kabin, sistem kunci pintu dan sistem audio. Perhatikan sekeliling kabin untuk sebarang tanda aneh yang ketara. Kadang kala, memperbaiki masalah bahagian dalaman kereta boleh jadi lebih mahal berbanding memperbaiki masalah mekanikal.
Untuk kereta yang dilengkapi dengan ciri elektronik yang rumit seperti sistem infotainment skrin sesentuh dan paparan digital, ambil masa untuk memeriksa fungsi tersebut satu persatu. Hiraukan sebarang tekanan daripada penjual yang tergopoh-gapah menyuruh anda memeriksa dengan cepat.
Periksa tanda-tanda kulat atau kelembapan kerana ini menunjukkan kebocoran air yang sangat menyusahkan untuk diperbaiki. Tarik tikar karpet dan rasa mana-mana tempat yang lembap di lantai, but kereta dan tempat duduk. Kebocoran air di sepanjang pintu juga boleh menjadi tanda bahawa kereta itu mengalami kemalangan serius yang tidak boleh dibetulkan.
4. Pandu uji
Jangan hanya tengok sahaja ya! Cubalah pandu uji kereta terpakai itu. Walaupun sekejap, pandu uji dapat mendedahkan masalah yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Contohnya penyerap hentak yang barai, bunyi enjin yang kasar, stereng lari atau bunyi yang tidak sedap didengari.
Tidak perlu memandu kereta dengan laju. Sebaliknya, periksa sama ada kereta boleh dihidupkan dengan lancar, melahu (idling) dengan baik dan tiada kelainan pada power steering. Buat pusingan U yang perlahan secara maksimum kerana ini adalah cara termudah untuk mengetahui sebarang kerosakan pada stereng dan sistem suspensi.
5. Semak rekod laporan yang disahkan untuk kereta recond
Kereta recond juga merupakan sebahagian daripada pasaran kereta terpakai. Tambahan pula, banyak model recond tidak didapati pada pasaran tempatan. Anda mahu Toyota Alphard yang lebih garang? Pasaran recond ada Toyota Alphard versi Modellista ataupun dengan body kit TOM yang berharga jauh lebih murah.
Namun apa yang dilihat tak seindah khabar. Kadang kala, ada unit recond yang telah terlibat dengan kemalangan dan telah dibaikpulih sepenuhnya. Yang lebih kerap dijumpai adalah kereta yang telah ditipu mileage.
Membeli kereta terpakai memerlukan sedikit usaha. Jika anda tidak yakin untuk melakukan semua ini secara sendiri, bawa mekanik yang dipercayai. Secara peribadinya, saya telah memiliki pelbagai kereta sepanjang hayat saya. Memang tak dapat dinafikan kepuasan apabila dapat memiliki kereta yang diimpikan. Harga susut nilai mungkin menjadi kelebihan anda sekiranya anda sendiri bijak membeli.
ANDA JUGA BOLEH MENGGUNAKAN SERVIS POMEN UNTUK MEMBANTU ANDA KETIKA DALAM KECEMASAN !
Muat turun POMEN App di Google Playstore atau Apple Appstore anda sekarang!